Video oleh MEDIA SOSIAL

Ketua Polis daerah, Superintenden Muhd. Nur Hishamuddin Hashim berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, anggota polis terbabit langsung tidak menyentuh lelaki berkenaan, sebaliknya menasihati supaya tidak memandu dalam keadaan mabuk.

“Lelaki itu mabuk dan enggan bekerjasama apabila diminta mengalihkan keretanya yang menghalang laluan.

“Kami cuma menjalankan tugas dan mengenal pasti tempat kejadian iaitu di hadapan bangunan Maybank cawangan Bahau sebagai zon penguatkuasaan tegas larangan meletak kenderaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, sebuah rakaman video berdurasi selama enam minit memaparkan beberapa individu membantah tindakan polis menahan seorang pemandu kereta tular dalam media sosial.

Mereka mendakwa seorang anggota polis bertindak kasar dengan menendang lelaki itu kerana meletakkan kereta di hadapan sebuah bank sewaktu isteri dan anaknya menunggu di dalam kenderaan tersebut.

Muhd. Nur Hishamuddin menambah, pemilik kereta tersebut mengakui kesilapannya selepas dia dibawa ke balai polis berhampiran.

“Pihak polis telah beri amaran supaya dia tidak mengulangi kesalahan. Kami pun tidak mahu panjangkan hal ini kerana hari ini Deepavali. Jika ditangkap, pasti kena tidur di lokap,” katanya.