Kesemua suspek yang dipercayai baru sahaja berjinak-jinak dalam kegiatan pengedaran dadah itu diberkas dalam tiga serbuan ketika cuba menyeludup syabu tersebut di Padang Besar, Perlis dan Changlun, Kubang Pasu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, kejayaan rampasan dadah yang dianggar bernilai RM6.3 juta itu adalah hasil kerjasama dengan Biro Pencegahan dan Kawalan Narkotik (PNSB), Polis Diraja Thailand.

“Pada 19 Februari lalu, JSJN bersama Pasukan Khas Taktikal dan Risikan Narkotik (Sting) de­ngan kerjasama PNSB Thailand melancarkan tiga serbuan bermula pukul 4.50 hingga 5.15 petang.

“Dua serbuan dilakukan di Changlun manakala satu lagi di Padang Besar, Perlis. Pemeriksaan lanjut ke atas tiga buah kenderaan Honda City dan Nissan Grand Livina yang ditahan secara berasingan, kita menemukan dadah disyaki syabu disorok dalam papan pemuka kereta berkenaan.

“Selain dadah, kita turut merampas mata wang dolar Amerika Syarikat dan Taiwan dianggar berjumlah RM5,000 serta pelbagai barang kemas seperti cincin, gelang tangan dan rantai leher. Nilai keseluruhan sitaan harta berjumlah RM30,000,” katanya di sini hari ini.


Video oleh SAFRIZAL AZMI

Yang turut hadir Komander Biro Pencegahan dan Kawalan Narkotik (PNSB) Polis Diraja Thailand, Mejar Jeneral Chayapoj Hasunaha; Ketua Polis Kedah, Datuk Asri Yusoff serta para pegawai tinggi polis Malaysia dan Thailand.

Menurut Mohd. Mokhtar, susulan serbuan itu pihaknya menahan tiga lelaki berusia antara 32 hingga 37 tahun yang mana salah seorang daripadanya merupakan individu dikehendaki polis Perak selain positif dadah jenis me­thamphetamine.

“Apa yang saya boleh katakan, mereka ini masih baharu namun tindakan pantas pihak polis dan hasil kerjasama dengan pihak Polis Diraja Thailand telah berjaya menumpaskan kumpulan pengedar dadah ini.

“Kita percaya, dadah ini untuk pasaran negara ini dan untuk dieksport ke Indonesia yang boleh menampung untuk kegunaan 450,000 orang. Dadah ini masuk dari negara Golden Triangle,” ujarnya.