Video Oleh KAMARUL KAMARUDIN

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, selain dalang, polis juga mempunyai maklumat mengenai mereka yang disyaki terlibat dan sudah diambil tindakan.

“Laporan yang diterima me­ngenai rusuhan tersebut semakin bertambah termasuk bilangan yang ditahan reman.

“Kerjasama orang ramai sa­ngat baik termasuklah seorang individu yang tampil membantu siasatan kes mengenai anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Muhammad Adib Mohd. Kassim yang cede­ra pada malam rusuhan itu,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri mesyuarat bulan bersama warga polis di Ibu pejabat Polis Bukit Aman, di sini hari ini.

Semalam, polis mengeluarkan gambar 28 saksi termasuk seorang wanita yang dipercayai boleh membantu siasatan ke atas insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman.

Dalam pada itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun memberitahu, sebanyak 15 individu lagi ditahan berhubung insiden kekacauan di kuil berkenaan.

Penangkapan terbaharu ini menjadikan jumlah keseluruhan yang ditahan sebanyak 83 orang setakat ini.

“Kesemua mereka yang ditahan merupakan warga tempatan yang dipercayai terlibat dalam insiden itu. Jumlah ini adalah hingga pukul 8 pagi dan setiap hari kita mengemas kini jumlah tangkapan pada pukul 8 pagi keesokan harinya.

“Ini bagi mengurangkan perkara-perkara yang bercanggah fakta yang dikeluarkan oleh pihak saya, media dan Ketua Polis Selangor,” ujarnya.