Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata kawalan trafik akan dilakukan seawal pukul 2 petang bagi mengelak kesesakan di sekitar kawasan stadium.

“Anggota trafik akan berada di lokasi tertentu yang telah dikenal pasti dan pihak polis hanya akan membuat lencongan atau penutupan jalan sekiranya keadaan terlalu sesak.

“Selain itu, untuk kawalan keselamatan di dalam dan luar stadium, pihak polis akan melakukan pemeriksaan terhadap penyokong ketika mereka memasuki pintu masuk,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini hari ini. 

Mazlan memberitahu, dianggarkan sebanyak 90,000 penyokong bola sepak akan hadir menonton perlawanan tersebut jadi pihaknya meminta orang ramai datang lebih awal dan disyorkan menggunakan pengangkutan awam bagi mengelak kesesakan.

“Orang ramai juga diingatkan untuk tidak membawa barang terlarang seperti mercun, suar, objek tajam, topi keledar dan pemetik api.

Sementara itu, Mazlan turut menegaskan pihaknya akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang menjual atau memiliki tiket palsu untuk aksi final bola sepak Piala AFF Suzuki itu.

“Setakat ini tiada laporan penjualan tiket palsu namun polis akan ambil tindakan tegas sekiranya mengesan aktiviti ini,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE