Wanita Melayu berusia 22 tahun dan tidak bekerja selain dua mekanik iaitu lelaki India dan lelaki Cina masing-masing berusia 36 tahun menaiki sebuah kereta Honda Civic FC putih ditahan di lebuh raya berkenaan. 

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurnain Jais berkata, sebelum ditahan sebuah kereta peronda dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan melakukan rondaan di lebuh raya berkenaan sebelum melihat kenderaan itu yang dalam keadaan mencurigakan.

"Pihak polis mengarahkan suspek yang memandu kereta tersebut berhenti dengan membunyikan siren namun tidak diendahkan sebelum memecut laju.

"Semasa mengejar mereka, kenderaan dinaiki tiga suspek itu memandu melawan arus sebelum melanggar sebuah kereta peronda polis dari IPD Seri Alam, Pasir Gudang dan dua kereta orang awam.

"Polis terus mengejar kereta tersebut sejauh kira-kira 35 kilometer sebelum berjaya ditahan di kawasan Flyover Jalan Datin Halimah, Larkin, Dua lelaki itu melarikan diri namun berjaya ditahan kira-kira 100 meter dari tempat kejadian sebelum dibawa ke Balai Polis Larkin untuk siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.

Beliau berkata, hasil siasatan menemukan beberapa peralatan dipercayai untuk samun iaitu satu batang allen key yang diubah suai, satu batang spanar saiz 10, satu batang pengumpil kuku kambing berwarna hijau.

Turut ditemukan satu dompet wanita jenama Sophie Paris warna putih, dua alat kawalan jauh berlogo Honda dan Mitsubshi.

Kereta Honda Civic FC itu katanya, merupakan kenderaan yang hilang di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor dalam tahun ini dipercayai dicuri.

Beliau berkata, ujian air kencing mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah jenis methapetamin serta kesemua mereka akan direman bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Tambahnya, wanita Melayu beralamat di Taman Desa Mutiara di sini mempunyai dua rekod berkaitan dadah, lelaki India beralamat di Taman Mount Austin di sini mempunyai dua rekod dadah manakala lelaki Cina itu yang beralamat di Taman Mutiara, Dungun, Terengganu mempunyai lapan rekod dadah selain dikehendaki polis. - UTUSAN ONLINE