Dalam serbuan dijalankan dengan kerjasama Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) kira-kira pukul 10.45 malam itu, enam wanita warga Vietnam yang bekerja sebagai tukang urut di premis berkenaan turut ditahan.

Lelaki berusia 29 tahun itu tiba-tiba datang ketika pemeriksaan sedang dijalankan dan mengaku sebagai penjaga selain memaklumkan dia bercuti pada hari ini.

“Saya datang kerana dihubungi tukang urut yang ditahan dan mereka semua tidak tahu berbahasa Melayu mahupun Inggeris.

“Sebelum ini kami pernah juga diperiksa serta dikenakan kompaun oleh pihak MBPJ atas kesalahan tidak memakai uniform ketika beroperasi,” katanya kepada Utusan Online.

Sementara itu, Pegawai Turus D7 Selangor, Deputi Superintenden Norhizam Bahaman berkata, kesemua wanita yang ditahan berusia antara 25 hingga 39 tahun.

“Mereka disyaki menjalankan kegiatan pelacuran berdasarkan kondom serta gel pelincir yang turut ditemukan di premis tersebut semasa pemeriksaan.

“Semua suspek dibawa ke Balai Polis Sungai Way, dekat sini untuk disiasat mengikut Seksyen 372 Kanun Keseksaan, Seksyen 6 (1) dan Seksyen 39b Akta Imigresen,” katanya ketika ditemui di sini. - UTUSAN ONLINE