Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, mangsa cedera di badan dan muka selain turut dibelasah suspek yang berang dengan tindakannya merakam percubaan suspek menanggalkan kunci pada tayar keretanya.

Menurut Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid, pihak pengurusan pangsapuri itu bertindak mengunci tayar kenderaan suspek yang merupakan lelaki Cina kerana diletakkan di petak khas dan melebihi masa ditetapkan.

“Suspek bertengkar dengan pengadu setelah menyedari perbuatannya dirakam dengan telefon pintar sebelum menyerang dengan alat pemotong besi sehingga menyebabkan kecederaan di badan dan muka serta ditumbuk dan ditendang.

“Pengadu telah mendapatkan rawatan  di hospital untuk pengesahan kecederaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Video tindakan lelaki itu yang menanggalkan alat pengunci tayar sebelum menyerang pengawal keselamatan berkenaan kini menjadi tular di laman sosial.

Menurut Mior Faridalatrash, suspek turut membuat laporan polis berkaitan kejadian itu dan pihaknya kini sedang menjalankan siasatan ke atas kedua-dua laporan polis yang diterima.

Tambah beliau, pihaknya juga sedang mendapatkan keterangan saksi bebas selain meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kejadian tersebut. – UTUSAN ONLINE