Video MEDIA SOSIAL

Mangsa, Ahmad Ainul Muqaffa, 20, yang bekerja sebagai juruwang di stesen minyak itu terpaksa menerima lapan jahitan, masing-masing lima di bahu kiri dan tiga di tangan kirinya akibat terkena libasan parang salah seorang suspek.

Dia yang bekerja syif malam bersama-sama seorang pengawal keselamatan ketika itu terkejut apabila mereka didatangi tiga lelaki yang menaiki dua buah motosikal dengan dua daripadanya bersenjatakan parang.

“Mereka cuba melarikan motosikal saya sambil mengacu parang serta memberi amaran dan meminta kami tidak bertindak apa-apa. Salah seorang penjenayah turut masuk ke bahagian dalam stesen minyak tetapi tidak mengambil apa-apa kecuali motosikal saya jenis Yamaha 125Z yang diletakkan di hadapan,” katanya, di sini sebentar tadi.

Ahmad Ainul berkata, dia cedera ketika bergelut dengan suspek bagi mengelak motosikal kesayangannya dilarikan penjenayah tersebut.

Terdahulu, satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dipercayai di stesen minyak berkenaan yang berdurasi lebih dua minit memaparkan dua lelaki bergelut dengan tiga penjenayah.

Malah, satu lagi rakaman CCTV milik sebuah hotel di daerah itu turut tular yang memaparkan kejadian samun dipercayai dilakukan suspek sama kira-kira 10 minit selepas mereka melarikan motosikal di stesen minyak berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip ketika dihubungi mengesahkan kejadian, namun enggan mengulas dan memaklumkan siasatan sedang dilakukan termasuk gerakan memburu suspek tersebut. - UTUSAN ONLINE