Siti Amirah Amirullah, 21, mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Haslinda A. Raof atas kedua-dua pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan pertama, Siti Amirah didakwa mencuri kenderaan tersebut bernombor pendaftaran W970R berwarna putih bernilai RM150,000 milik Nur Afifa Abd. Aziz, 30, tanpa izinnya di tempat letak kenderaan di sebuah kondominium Desaku 2, Jalan Melati Indah 1, Kemensah Height dekat sini antara pukul 8 malam pada 30 Ogos 2018 dan pukul 12.30 tengah hari, 31 Ogos lalu.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Pertuduhan kedua, wanita itu sebagai pembantu rumah didakwa mencuri pelbagai barangan berharga iaitu beg tangan jenama Louis Vuitton (LV), jam tangan Swarovski, pakaian dan wang tunai berjumlah RM5,000 yang keseluruhannya bernilai RM8,000 di dalam rumah majikannya itu di kondominium sama, pukul 12.30 tengah hari, pada cuti umum hujung bulan lalu.

Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 381 kanun sama yang memperuntukkan hukuman hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Raihanah Abdul Razak manakala Siti Amirah tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM9,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 Oktober ini untuk sebutan kes. - UTUSAN ONLIN