Video Oleh ZETI FARZANA ALPIKRI

Hakim Zulhelmy Hassan yang bertindak sebagai majistret menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Syahrul Nizam Anuar, 27, selepas mendapati keterangan pembelaan tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Lelaki itu didapati memandu kenderaan berat tersebut secara berbahaya tanpa mengendahkan suasana keadaan jalan raya sehingga menyebabkan kematian pemandu kereta, Lam Wai Loon, 46; isterinya, Wong Cheq Lee, 53; dua anak mereka, Lam Jie Yang, 19, dan Lam Jie Hong, 13; adik Wai Loon, Lam Wei Keat, 35, serta bapanya; Lam Leong Choy, 76.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kilometer 403.2, PLUS arah utara, Hulu Selangor, kira-kira pukul 7.46 pagi, 2 April tahun lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pe­ngangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM20,000.

Terdahulu, dalam rayuan sebelum hukuman dijatuhkan, peguam L. Raj yang mewakili Muhammad Syahrul Nizam memohon hukuman yang munasabah memandangkan tertuduh yang kini bekerja di sebuah kilang merupakan penanggung utama keluarga.

“Dia juga tidak mempunyai niat untuk menyebabkan kematian serta tiada potensi untuk mengulangi kesalahan sama memandangkan kemalangan itu tidak disengajakan,” kata Raj.

Timbalan Pendakwa Raya, Khairulazhwa Yusrie Mohamad pula memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat agar tidak mengulangi kesalahan sama.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara 12 bulan lagi sekiranya gagal membayar denda dan tertuduh turut hilang kelayakan memandu selama tiga tahun di samping kesalahan tersebut dicatat di dalam lesennya.

Zulhelmy bagaimanapun mem­benarkan permohonan tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi dengan syarat jaminannya dinaikkan daripada RM10,000  kepada RM50,000 berserta seorang penjamin dan perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali sehingga kes selesai.

Turut hadir pada prosiding itu ialah Thomas Cin, Azinuddin Karim, Jeny Fong sebagai peguam pemerhati bagi keluarga mangsa.

Sepanjang perbicaraan, seramai tujuh saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan iaitu tertuduh sendiri dipanggil bagi memberi keterangan.