Video MEDIA SOSIAL

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, sebelum kejadian, pemandu lori tersebut yang berusia 27 tahun dikatakan enggan memberhentikan kenderaan setelah ditahan  anggota polis trafik di Batu 9, Cheras di sini.

Menurutnya, pemandu lori itu tidak berhenti dan meneruskan perjalanan dari Kajang sehingga ke USJ1 malah melanggar kira-kira 15 kenderaan di sepanjang kawasan apartmen di situ.

“Sebanyak enam pasukan peronda Trafik Kajang dan dua anggota Unit Rondaan Bermotosikal Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya bertindak mengejar lori terbabit sebelum tembakan dilepaskan ke arah tayar lori.

“Setelah lori itu tersangkut dan tidak dapat meneruskan perjalanan, pemandu lori cuba melarikan diri namun ditangkap oleh orang awam sebelum diserahkan kepada anggota polis,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Mohammad Azlin memberitahu, video kejadian tersebut telah tular dalam media sosial dan jelas kelihatan terdapat bendera parti politik tergantung pada lori berkenaan.

“Kita minta orang ramai tidak membuat komen negatif kerana siasatan sedang dijalankan oleh pihak polis atas isu kesalahan trafik dan jenayah,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE