Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Razarudin Husain berkata, kesemua barangan yang diseludup masuk dari negara jiran bagi mengelak daripada cukai itu disimpan di premis berkenaan sebelum diedarkan untuk pasaran tempatan.

Katanya, dalam serbuan itu, seorang lelaki yang juga pemilik premis itu serta tujuh pekerjanya termasuk seorang wanita turut ditahan.

“Serbuan ini dijalankan selepas sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang melakukan intipan selama dua minggu di premis berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Penampang di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Salehhudin Abdul Rahman; Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M. Chandra dan Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintenden Haris Ibrahim.

Menurut beliau, turut dirampas adalah empat buah lori dan wang tunai sebanyak RM66,271 dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Sementara itu dalam kes berasingan di Kampung Duku Sepanggar semalam, Razarudin berkata, seorang penjenayah cedera di kaki kanan ditembak sebelum ditahan polis ketika cuba menyerang anggota keselamatan tersebut.

Terdahulu katanya, dalam kejadian pada kira-kira pukul 2 pagi itu, dua anggota dari IPD Kota Kinabalu yang menggunakan kenderaan pelbagai guna polis mengesan suspek bersama tiga rakannya menaiki sebuah van dalam keadaan mencurigakan.

“Anggota berkenaan kemudian mengejar suspek selama beberapa minit sebelum van berkenaan berhenti di satu pusingan U dan tiga daripada suspek melarikan diri manakala seorang lagi bertindak menyerang polis sebelum dia ditembak,” katanya.

Katanya, siasatan lanjut mendapati penjenayah terbabit sedang merancang untuk melakukan pecah rumah hasil penemuan parang dan beberapa besi pengumpil pintu di dalam van tersebut.

Tambahnya, siasatan ke atas suspek yang ditahan berjaya membawa kepada penahan seorang lagi suspek di Inanam kira-kira pukul 12.30 pagi ini manakala dua lagi lelaki yang telah dikenal pasti masih diburu. - UTUSAN ONLINE