Tertuduh, Ahmad Faisal Omar, 19, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Siti Khairiah Abdul Razak.

Berdasarkan pertuduhan, pelajar itu didakwa menyebabkan kematian Nur Alya Damia Hairi, 19, antara pukul 8.30 malam hingga 10.30 malam di tepi jalan Taman PD Permata, di sini pada 24 Mei lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, A. Ashmini manakala tertuduh diwakili peguam Diar Isda Yazmin.

Mahkamah kemudian menetapkan 16 Julai bagi tarikh sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan kimia, forensik dan asid deoksiribonukleik (DNA).

Akhbar sebelum ini melaporkan Nur Alya Damia ditemukan mati dengan kesan cekik di lehernya di tepi jalan di Lorong 4, Taman PD Permata di sini 24 Mei lalu.

Susulan kejadian itu, polis menahan seorang pelajar yang dipercayai bekas teman lelaki mangsa di sebuah rumah di Taman Selasih yang terletak berhampiran kolej vokasional tersebut. - UTUSAN ONLINE