Dalam tangkapan kira-kira pukul 6 petang itu, Maritim Malaysia berjaya merampas sebanyak 916,500 bungkus rokok putih dan 3,048 botol minuman keras yang dipercayai menggunakan jenama palsu.

Pengarah Wilayah Maritim Selatan, Datuk Abu Bakar Idris berkata, kegiatan tersebut dihidu apabila pihaknya mengesan sebuah bot dari negara jiran yang dalam keadaan mencurigakan berlegar-legar di kedudukan 3.7 kilometer dari Tanjung Piai.

“Hasil pemeriksaan ke atas bot berkenaan menjumpai sejumlah 916,500 bungkus rokok putih dan 3,048 botol arak dianggarkan bernilai RM2.5 juta sebelum cukai.

“Kesemua sembilan kru termasuk tekong berusia antara 25 hingga 53 tahun ditahan setelah gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam sidang akhbar di Jeti APMM Sungai Pulai, di sini sebentar tadi.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(D) Akta Kastam 1967.

Abu Bakar berkata, pihaknya akan mempertingkatkan operasi kerana percaya akan ada lagi kegiatan seperti itu dilakukan pihak tertentu untuk membawa barang seludup masuk ke negara ini tanpa cukai menjelang perayaan Tahun Baharu Cina ini. - UTUSAN ONLINE

Video oleh RAJA JAAFAR ALI