Video oleh AZRUL RADI

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, suami isteri yang masing-masingberusia 28 dan 27 tahun itu ditahan bersama anaknya yang berusia 4 bulan kira-kira pukul 3.30 petang tadi.

"Berdasarkan laporan dan maklumat daripada orang ramai, kami telah pergi ke rumah mereka di Jalan Raja Abdullah, di sini.

"Siasatan awal mendapati mereka ialah pelancong dan masuk ke dalam negara menerusi Thailand pada Jumaat lalu," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas meninjau kelancaran kempen Op Selamat 14 sempena Tahun Baharu Cina di Plaza Tol Jalan Duta, di sini hari ini.

Menurut Mazlan, pihaknya juga sudah berhubung dengan pihak kedutaan Rusia di sini mengenai penahanan tersebut sekiranya terdapat unsur penderaan.

"Permohonan reman akan dibuat esok dan kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001," jelasnya.

Terdahulu, tular sejak kelmarin di laman sosial sebuah rakaman video berdurasi selama satu minit 26 saat itu, memaparkan aksi seorang lelaki pelancong asing melambung bayinya ketika mengemis di Bukit Bintang, di sini.

Malah, video perbuatan berbahaya pelancong itu berjaya dirakam salah seorang lelaki yang kemudian dikongsi dalam akaun Facebook miliknya, semalam.

Sementara itu, mengulas mengenai Op Selamat 14, sebanyak 8,353 saman telah dikeluarkan dalam tempoh enam hari.

"Dalam tempoh itu juga, sebanyak 1,707 kenderaan telah terlibat kemalangan," jelasnya. - UTUSAN ONLINE