Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, hanya rakyat Malaysia yang memperoleh kemudahan pas itu kerana ia tidak dibuka kepada warga asing.

"Dua pas ini boleh dilanggan di semua stesen rel dan hab bas iaitu di Hab Bandar Shah Alam, Greenwood Gombak, Sri Nilam Ampang dan Terminal Kajang.

"Mereka boleh melanggan pas ini secara terus di stesen terlibat melalui MyKad atau MyTentera bermula bulan depan," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Anthony lagi, untuk menambah nilai selepas 30 hari seterusnya, mereka boleh berbuat demikian di mana-mana kiosk Touch N GO, stesen minyak dan mesin ATM.

Jelasnya, penggunaan pas itu terbuka untuk enam mod pengangkutan awam Transit Aliran Ringan (LRT), monorel, Bas Rapid Transit (BRT), Transit Aliran Massa (MRT), bas RapidKL dan bas pengantara MRT.

Pada masa sama, Anthony berkata, pas tanpa had 30 hari itu dijangka memberi manfaat dan penjimatan kepada pengguna pengangkutan awam di Lembah Klang.

Katanya, insiatif tersebut bukan sahaja mengurangkan bebas kos sara rakyat Malaysia tetapi juga ingin menggalakkan mereka menggunakan pengangkutan awam sekali gus berupaya mengurangkan kesesakan jalan raya.

"Sebagai contoh, pengguna perkhidmatan rel dan bas yang tinggal di Kajang dan bekerja di KLCC, perlu membayar RM280 sebulan.

"Tetapi menerusi pas ini, mereka dapat berjimat sekurang-kurangnya RM180," katanya.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2019 mengumumkan kemudahan pas bulanan bernilai RM100 tanpa had perjalanan bagi perkhidmatan rel dan bas RapidKL bermula Januari 2019.

Menerusi inisiatif tersebut, sebanyak RM240 juta diperuntukan yang bertujuan meningkatkan penggunaan pengangkutan awam sekali gus dijangka dapat dimanfaatkan kira-kira sejuta pengguna pengangkutan awam khususnya di dalam kalangan warga kota.-UTUSAN ONLINE