Walaupun mereka menggunakan alasan sekadar mahu menambahkan tenaga dan menghilangkan rasa mengantuk agar dapat mengejar perjalanan bas yang berganda, amalan tersebut merupakan satu perbuatan yang sangat tidak bertanggungjawab.

Ujar Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Datuk Dr. Abdul Halim Mohd. Hussin, sebagai agensi yang diberi mandat untuk mengatasi permasalah tersebut, pelbagai inisiatif telah dilakukan bagi memastikan keselamatan penumpang terjamin.

"Sehubungan itu, satu Operasi Bersepadu Sempena Aidilfitri 2018 telah diadakan dengan harapan kadar kemalangan yang berpunca daripada pengambilan bahan terlarang tersebut dapat dikekang.

"Operasi dijalankan serentak sejak 8 Jun lalu sehingga Ahad ini dan daripada 2,624 saringan yang dilakukan, sebanyak 10 pemandu bas ekspress berjaya dikesan terlibat dengan dadah setakat ini," katanya ketika ditemui pemberita dalam satu sidang akhbar di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Abdul Halim turut memberitahu bahawa dalam kalangan 10 pemandu bas tersebut, ada di antara mereka merupakan penagih yang berulang kerana rekod menunjukkan mereka mempunyai sejarah dengan AADK.

"Dua daripadanya adalah pemandu wanita dan baru sahaja terlibat dengan pengambilan dadah tersebut dan kebanyakan mereka adalah pemandu bas sambilan sempena musim perayaan ini sahaja.

"Apa-apa pun kerjasama daripada syarikat bas, terminal bas yang beroperasi serta badan penguatkuasaan yang telah meletakkan komitmen yang tinggi untuk membanteras gejala ini wajar dipuji dan diteruskan dari semasa ke semasa agar nasib penumpang sentiasa terbela," katanya. - UTUSAN ONLINE