Video oleh TOREK SULONG

Sehubungan itu, bapa mangsa, Mohd. Samuddin Mat Salleh, 49, berharap pihak berkuasa Thailand dapat membantu mengesan lokasi sebenar anaknya, Mirsya Safiyyah dan suspek.

Menurut Mohd. Samuddin, anak sulung daripada dua beradik itu ada meng­hubunginya pada 25 Julai lalu menerusi nombor telefon yang menggunakan kod panggilan negara jiran tersebut.

Panggilan itu, katanya, hanya berlaku kira-kira seminit sebelum terputus dan gagal dihubungi semula.

“Ketika bercakap dalam telefon, Mirsya Safiyyah kata dia mahu balik ke pangkuan keluarga. Dia bercakap dalam keadaan gementar dan takut-takut. Dia juga gagal beritahu lokasi sebenar mereka.

“Selepas terputus, saya cuba meng­hubungi nombor itu semula namun gagal kerana mungkin telefon itu ditutup suspek selepas mengetahui Mirsya Safiyyah menghubungi keluarganya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Katanya, anaknya itu hilang dari rumah ketika dia dan isteri, Sahima Deraman, 36, keluar bekerja pada 26 April lalu dengan sehelai sepinggang tanpa membawa MyKad.

“Saya yakin kedua-duanya masih ber­ada di Selatan Thailand berdasarkan maklumat latar belakang keluarga suspek yang mempunyai saudara-mara di wilayah ber­kenaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, kes tersebut masih disiasat dan suspek yang dikenali sebagai Mohd. Edry Farhan Suding beralamat Kampung Gelang Gelonggong, Beris Lalang, Bachok setakat ini masih gagal dikesan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu diminta segera menghubungi Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok di talian 09-7788222 atau Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD, Asisten Superintenden Nazri Mohamad.

Semalam, media melaporkan polis sedang mengesan seorang remaja lelaki berusia 19 tahun bagi membantu kehilangan pelajar perempuan dari Kampung Hujung Repek sejak 26 April lalu.

Mirsya Safiyyah sepatutnya mendaftar sebagai pelajar baharu di Kolej Vokasional Bachok pada 27 April lalu.