Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 7.05 petang itu, empat yang ditahan termasuk seorang wanita menaiki sebuah kereta Perodua Myvi manakala seorang lagi menaiki Perodua Bezza.

“Mereka yang menaiki Perodua Myvi terdiri daripada sepasang suami isteri yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan dua adik-beradik yang turut berada di dalam kereta tersebut.

“Dalam serbuan itu, kita temukan dadah disyaki Methamphetamine seberat 4.048 kilogram bernilai RM200,000 yang mampu dibekalkan kepada lebih 8,000 pengguna,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Pusat Media Ibu pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Menurut Mazlan, dalam serbuan itu pihaknya turut menyita kereta, barang kemas, telefon bimbit, jam tangan serta wang tunai yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM55,530.

“Kita percaya, suspek merupakan ahli kongsi gelap yang kini menumpukan perhatian mengedar dadah untuk mencari pendapatan.

“Kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula Isnin hingga 21 Januari depan untuk disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE