Tertuduh, Azizul Shahari, 32; V. Gunasegar, 29; Shajahan Yoosaf Kunju, 31; Noushadkutty Sulaiman, 40, dan Nahas Aboobaker, 41, mengangguk faham selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Tan Chai Wei.

Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah ladang ternakan di Jalan Pilin Kampung Kundur Tengah Pedas dekat sini pada pukul 4.15 petang, 13 Februari lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, K.S. Rinisha Priyya mengemukakan pendakwaan mengikut Seksyen 39 B(1) Akta Dadah Berbahaya 1953 (234) yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Kesemua tertuduh yang diwakili peguam Shah Rizal Abdul Manan tidak ditawarkan jaminan dan mereka dihantar ke Penjara Sungai Udang, Melaka.

Akhbar baru-baru ini melaporkan, polis berjaya menumpaskan satu sindiket dadah apabila menahan 16 suspek dalam serbuan berasingan di negeri ini dan Selangor dengan nilai rampasan berjumlah RM4.3 juta.

Salah satu lokasi yang diserbu ialah sebuah ladang ternakan lembu di sini disyaki makmal dadah dan polis turut menemukan buku yang dipercayai mengandungi formula memproses bahan terlarang itu. - UTUSAN ONLINE