Ketua Pengarah JKDM, Datuk Seri  T.Subromaniam berkata, kelima-lima suspek berusia 19 hingga 26 tahun itu ditahan di lapangan terbang itu pada pukul 9.35 pagi sebaik tiba dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).

Katanya, sebelum ditahan, berlaku pergelutan antara kesemua suspek dengan beberapa pegawai JKDM apabila mereka cuba melarikan diri dari balai ketibaan semasa proses pemeriksaan bagasi sedang dilakukan.

"Semasa di balai ketibaan pegawai kami telah melakukan imbasan terhadap bagasi yang dibawa kesemua suspek dan mendapati terdapat imej mencurigakan lalu mereka diarah untuk masuk ke dalam bilik pemeriksaan.

"Ketika itulah mereka cuba melarikan diri dan berlaku pergelutan sebelum pegawai kami berjaya menahan kesemua mereka," katanya dalam sidang akhbar di Wisma Kastam di sini hari ini.

Subromaniam berkata, kesemua suspek yang berasal dari Semenanjung itu telah direman 12 hari bermula Rabu lalu dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tambahnya, siasatan masih dijalankan tentang dari mana dadah itu diperoleh serta mengesan sindiket-sindiket yang dipercayai terlibat dalam aktiviti penyeludupan berkenaan.-UTUSAN ONLINE