Ketua Polis daerah, Deputi Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, mangsa berusia 63 tahun telah diculik oleh sekumpulan tujuh lelaki semasa berbincang tentang urusan pelaburan di sebuah kedai makan pada kira-kira pukul 12.30 tengah hari pada hari berkenaan.

Katanya, semasa perbincangan, mangsa dikatakan telah bertengkar dengan kumpulan lelaki terbabit sebelum diheret masuk ke dalam kenderaan suspek dan diculik.

“Apabila menerima laporan, sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lawas diketuai Asisten Superintenden Raduwan Narawi telah melancarkan operasi mencari serta mengadakan sekatan di semua jalan keluar dan masuk daerah ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, tindakan pantas dilakukan oleh anggotanya berjaya mengesan dan membawa tangkapan kepada lima lelaki disyaki terlibat menculik mangsa.

Katanya, hasil penahanan suspek berusia 30-an hingga 60-an, polis kemudian berjaya menyelamatkan mangsa pada hari sama.

Tambahnya, mangsa yang cedera disyaki dipukul suspek telah dibawa ke Hospital Lawas untuk mendapatkan rawatan, manakala kelima-lima lelaki yang ditahan kini direman bermula semalam sehingga Isnin depan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan. - UTUSAN ONLINE