Video oleh AZMAN ASMAYATIM

Dalam operasi pada pukul 3 pagi oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan (SPS) itu, polis turut menemukan dua bungkus dadah dipercayai heroin dan ketamin masing-masing seberat 573.9 gram dan 26.7 gram yang dianggarkan bernilai RM11,500.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, suspek utama yang merupakan seorang lelaki berusia 38 tahun dan memiliki lima rekod jenayah lampau telah diberkas.

Menurutnya, turut ditahan ialah isterinya yang berusia 38 tahun serta seorang wanita berusia 59 tahun dan dua kanak-kanak berusia 13 dan empat tahun yang tinggal di situ.

Ujarnya, empat pucuk pistol yang ditemukan ialah Barreta, Colt MFG, Compact Cz 75D dan Cz 2075 serta tiga pasang gari dan kunci gari yang disimpan di sebuah bilik.

“Suspek lelaki itu dipercayai bertindak sebagai pusher dadah di kawasan SPS sejak setahun lalu,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini hari ini.

Difahamkan, suspek lelaki berkenaan yang berada dalam pengawasan polis turut memakai peranti pemantauan elektronik (EMD) serta pernah menjadi tahanan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA).

Mengulas mengenai serbuan berkenaan, Mohmad membe­ri­tahu, polis turut menyita sebuah kereta Perodua Myvi, sebuah motosikal Honda, seutas jam tangan dan wang tunai bernilai RM1,700 dengan nilai keseluruhan mencecah RM34,700.

Jelasnya, polis kini sedang mengenal pasti penglibatan mereka yang bukan sahaja aktif dalam kegiatan dadah bahkan juga aktiviti jenayah di sekitar negeri ini.

“Kesemua suspek kini ditahan reman sehingga 12 Disember ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 7 Akta Senjata Api 1971, Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 89 Akta Polis 1967,” katanya.