Video oleh SHIDDIEQIIN ZON

Lelaki berusia 34 tahun itu dikatakan telah membaling dua tong penapis air yang dibakar ke arah cermin gereja dan kuil tersebut dari atas jejambat kira-kira pukul 1 pagi.

Ketua Polis negeri, Datuk Hasannudin Hasan berkata, hasil ujian air kencing yang dijalankan ke atas suspek juga mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine.

"Lelaki ini pada mulanya ditahan pada pukul 1 pagi di rumahnya di Kampung Belukar, Pasir Mas selepas terlibat dengan kejadian langgar lari namun dibebaskan dengan jaminan polis.

"Namun pada pukul 1.30 petang kita menahannya semula selepas siasatan mendapati dia dipercayai terlibat dalam kes khianat ke atas rumah ibadat terbabit," katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Katanya, hasil siasatan awal polis mendapati suspek bertindak demikian selepas dipercayai tertekan akibat kematian ibunya pada tahun lalu.

"Selain itu, tertuduh turut mengalami halusinasi yang mendorongnya melakukan perkara tidak elok di rumah ibadat bukan Islam," katanya.

Tambahnya, suspek ditahan reman selama empat hari bermula semalam dan disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan iaitu khianat di tempat ibadat. - UTUSAN ONLINE