Dalam serbuan terbaharu kira-kira pukul 2.45 petang kelmarin, polis menyerbu kondominium di Batu Uban, Gelugor di sini dan merampas pelbagai jenis dadah yang bernilai hampir RM500,000.

Menurut Ketua Polis negeri, Datuk Seri A. Thaiveegan, dalam serbuan sama, polis turut menahan dua lelaki berusia 54 dan 40 tahun warga tempatan yang dipercayai dalang sindiket terbabit.

Susulan tangkapan itu, ujar beliau, polis kemudiannya menahan dua lagi lelaki berusia 51 dan 47 tahun dipercayai ahli sindiket sama di Butterworth dan Bayan Lepas di sini termasuk penjawat awam.

“Selain itu, kita turut merampas tujuh buah kenderaan masing-masing lima buah kereta dan dua buah motosikal serta seutas jam tangan mewah.

“Turut dibekukan tiga akaun bank dengan nilai keseluruhan yang disita kira-kira RM274,000,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Thaiveegan, kesemua suspek kini ditahan reman sehingga 15 Ogos ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - UTUSAN ONLINE

Video oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL