Peguam Mohd. Fauzan Hushim ketika diminta memberikan pendapat me­ngenai kes penipuan menggunakan maklumat perbankan pihak ketiga berkata, dalam keba­nyakan kes, mangsa dengan mudah diperdayakan dan memberikan maklumat perbankan mereka kerana kurang kefahaman mengenai implikasi perunda­ngan terhadap tindakan tersebut.

Jelas beliau, kebanyakan mangsa ti­dak menyedari, sekiranya maklumat perbankan tersebut disalah gunakan untuk tujuan jenayah, siasatan yang dijalankan oleh pihak polis akan tertumpu kepada mereka.

Tambah beliau, mereka menjadi fokus siasatan kerana jejak kewangan (money trail) dalam siasatan tersebut sudah pas­tinya akan menunjuk kepada mereka.

“Orang yang daripada awal­nya berniat untuk melakukan jenayah pastinya akan menyi­ap­kan perancangan yang teliti untuk memastikan mereka tidak ditangkap, itu sebabnya mereka menggunakan maklumat perbankan pihak ketiga.

“Benar, dalang itu bersalah, tetapi dalam masa sama perlu difahami jenayah ini tidak akan terjadi jika mangsa mengambil tahu dan mempertimbangkan alasan atau tujuan penggunaan maklumat tersebut oleh mana-mana pihak yang memintanya,” jelas beliau.

Kata Fauzan, ini menjadi sebab ke­napa mangsa turut disiasat dan menanggung implikasi perundangan apabila laporan polis dibuat berkenaan jenayah berkenaan.

Pun begitu, Fauzan menyatakan ini tidak bermakna pihak berwajib mahu melin­dungi atau melepaskan dalang sebenar.

Menurut beliau, pihak polis menjalankan siasatan berdasarkan maklumat yang ada dan sekiranya mendapat maklumat yang secukupnya, pasti pihak polis akan menyiasat sedalam-dalamnya kes-kes berkaitan.

Menyentuh perkara sama, peguam Heather Marie Anthony pula menjelaskan, jika dilihat kepada kes-kes yang pernah diwakili, jelas didapati keba­nyakan mangsa telah diperdaya dengan pelbagai alasan sehingga bersetuju untuk memberikan maklumat perbankan masing-masing kepada pihak sindiket atau ah long.

Beliau menyatakan, dalam kes-kes berkenaan, didapati jenayah penipuan yang didakwa dilakukan oleh mangsa sebenarnya dilakukan oleh pihak ketiga, pun begitu, dalang sebenarnya itu tidak dapat diberkas.

Justeru Hether Marie menya­rankan kepada mereka yang menghadapi kes-kes sebegini untuk membuat laporan polis susulan serta memberikan maklumat yang selengkapnya bagi membantu pihak berkuasa melakukan siasatan menyeluruh terhadap aduan yang dibuat terhadap mereka.