Pekerja kontrak, K. Ganesh, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Rasyihah Ghazali.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan kejamnya atau secara tidak munasabah membuat atau meninggalkan untuk melakukan apa-apa perbuatan menyebabkan kesakitan atau penderitaan yang tidak sepatutnya pada seekor kucing.

Kejadian didakwa berlaku di premis Dobi Queen Self Service Laundry Taman Gombak Ria, Jalan Gombak Ria, Taman Gombak Ria, Batu Caves, dekat sini antara pukul 12.54 tengah malam dan pukul 1 pagi, 11 September lalu.

Dia yang diwakili peguam P. Rajsurian didakwa mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 29(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

DUA tertuduh kes masukkan kucing bunting
 

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport perlu diserahkan ke mahkamah dan lapor diri di balai polis berhampiran dua kali sebulan serta 16 November ini untuk sebutan semula kes.

Dalam prosiding sama, Rasyihah membenarkan permohonan Rajsurian yang turut mewakili pemandu teksi, A. Mohanraj, 41, yang telah didakwa sebelum ini dalam kejadian sama untuk mengurangkan jaminan daripada RM18,000 kepada RM12,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan sama selain tarikh sebutan kes serupa.

Terdahulu, mahkamah melepas tanpa membebaskan juruteknik elektrik, S. S.  Satthiya, 26, daripada pertuduhan sama mengikut Seksyen 254 Kanun Tatacara Jenayah.

Media sebelum ini melaporkan tiga lelaki yang video mereka tular selepas mereka membunuh seekor kucing bunting terbiar dengan memasukkannya ke dalam mesin pengering pakaian di dobi layan diri berkenaan. - UTUSAN ONLINE