Video oleh NUR NAZLINA NADZARI

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, serbuan pada pukul 4.15 petang melibatkan empat kawasan perumahan itu sekali gus menumpaskan kegiatan satu sindiket pengedaran dadah yang dipercayai turut membekalkan dadah berbentuk jus minuman.

Menurutnya, turut dirampas selain 13 kilogram ketamin ialah 2,160 peket minuman disyaki campuran dadah ekstasi (dianggarkan 19.44 kilogram) dan 12.94 kilogram bahan prekursor enphedrine yang kesemuanya bernilai RM1.7 juta.

“Ketamin yang dirampas ini dipercayai untuk pasaran Taiwan kerana harganya adalah 10 kali ganda lebih tinggi daripada pasaran tempatan. Harga ketamin di Malaysia adalah sebanyak RM50,000 sekilogram.

“Ephedrine pula dijual pada harga RM25,000 sekilo di pasaran gelap berbanding RM350 yang dijual kepada ahli farmasi berdaftar, manakala peket disyaki campuran dadah ekstasi itu pula dijual pada harga RM350 bagi setiap bungkus dan dipercayai dipasarkan di pusat hiburan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di sini hari ini.

Sementara itu, Mohmad berkata, serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman bersama Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) itu turut menangkap tiga ahli sindiket iaitu masing-masing Taman Bukit Serdang, Jinjang Selatan dan Bandar Putra Damai.

Tambahnya, pihaknya juga menyita dua buah kenderaan iaitu Proton Persona dan Perodua Myvi yang bernilai RM45,000 semasa operasi itu.

“Dadah yang dirampas ini jika berada di pasaran gelap dipercayai boleh digunakan oleh kira-kira 110,000 penagih dadah.

“Kesemua tangkapan direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi siasatan lanjut di bawah 39B Akta Dadah Berbahaya,” ujarnya.