Timbalan Perdana Menteri berkata, antara dadah jenis ATS yang menjadi kegemaran adalah ekstasi, amphetamine dan Era­min 5.

“Peningkatan ini berkait rapat dengan gaya hidup anak muda sekarang yang suka berhibur serta bersosial. Masalah dadah merupakan masalah serius dan tidak boleh dipandang sepi.

“Lantaran itu, saya menyeru Jabatan Penjara dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) terus membuat penambahbaikan dalam meningkatkan program pemulihan dadah di penjara dan juga Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) melalui kerjasama bersepadu, melibatkan tenaga pakar dari Jabatan Penjara dan AADK,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian ketika berucap dalam sambutan Hari Penjara Ke-227 dan Hari Anti dadah Kebangsaan 2017 di Penjara Simpang Renggam dekat sini hari ini.

Dalam majlis itu, beliau melancarkan Yayasan Koreksional dan modul Certified Psycho-Education Practitioner (CCP), selain menyampaikan sumbangan, penyerahan kereta dan enjin oleh Proton Holdings Berhad, enjin oleh Hino Motors Sales (Malaysia) Sdn. Bhd. dan sijil Standard Kualiti Songket kepada Jabatan Penjara.

Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin: Timbalan Menteri Dalam Nege­ri, Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Ketua Polis Johor, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd.

Sementara itu, Ahmad Zahid juga mahu usaha-usaha menambah baik, memperkemas dan memperkasakan modul-modul pemulihan di Jabatan Penjara dilakukan bagi memastikan kadar residivis di negara ini terus menurun.

Menurutnya, sememangnya kadar residivis iaitu kesalahan berulang banduan dapat diturunkan di negara ini di bawah kadar sembilan peratus, namun usaha itu perlu dipertingkatkan lagi.

“Di sinilah Yayasan Koreksional Malaysia boleh mainkan peranan dalam memastikan latihan kemahiran bersesuaian serta menjadi asas kepada laluan kerjaya selepas penghuni dibebaskan.

“Pegawai penjara perlu dilibatkan dengan lebih aktif dalam latihan yang disediakan oleh yayasan. Ini kerana mereka merupakan tenaga pembimbing yang sesuai memandangkan pegawai penjara sentiasa bersama-sama penghuni (penjara),” katanya.

Katanya, memang benar apabila penghuni penjara dibebaskan, mereka bukan lagi tanggungjawab jabatan tersebut, namun seharusnya amanah membetulkan mereka semasa dalam penjara dilaksanakan dengan sebaiknya dan berkesan.

“Tanggungjawab kita ialah menyedarkan mereka supaya tidak mengulangi kesilapan silam.

“Sebenarnya mereka ini amat bergantung harapan kepada kita semua untuk bangkit kembali sebagai insan berguna kepada agama, masyarakat dan negara,” katanya.