Dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam itu, pasangan kekasih dipercayai warga tempatan itu dikatakan bergaduh sebelum lelaki berkenaan bertindak melanggar serta memukul wanita itu menggunakan topi keledar.

Aksi pasangan kekasih itu telah dirakam seorang penghuni kondominium berkenaan sehingga video itu tular dalam laman Twitter hari ini.

Individu yang merakam kejadian itu, Khalil Jamian berkata, dia terkejut apabila terdengar orang menjerit-jerit dari tingkat bawah berhampiran kondominium tersebut.

Menurutnya, ketika kejadian, terdapat seorang lelaki sedang duduk atas motosikal manakala wanita itu pula duduk di tepi jalan serta dilihat menangis.

“Wanita tersebut turut menjerit-menjerit sebelum lelaki itu bertindak melanggar serta memukulnya dengan topi keledar sebelum menendang mangsa.

“Saya terus menjerit meminta lelaki itu menghentikan tindakannya namun tidak dipedulikan. Seminit kemudian, wanita itu dilihat membonceng motosikal bersama lelaki itu dan meninggalkan kawasan terbabit,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Khalil, kejadian itu turut disaksikan beberapa penghuni di kondominium terbabit.

Jelasnya, dia akan membuat laporan polis berhubung kejadian itu petang ini.- UTUSAN ONLINE