Video oleh FARABI SAID

Difahamkan ini merupakan keja­di­an kedua ber­laku terha­dap premis yang sama apabila me­ngalami kerugian RM1.1 juta dalam kejadian sama pada 2 November lalu.

Dalam kejadian pukul 11.47 pagi itu, tiga lelaki di­percayai warga tempatan bertindak menyerbu kedai tersebut de­ngan me­ngenakan topi dan topeng yang mana seorang daripada mereka membawa sepucuk pistol Revolver .38.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Zani Che Din berkata, suspek yang membawa pistol tersebut kemudiannya mengacukan senjata api itu ke arah pengawal ke­selamatan kedai emas tersebut sebelum merampas selaras senapang patah.

“Dua rakan penjenayah pula mengambil lapan dulang bara­ngan kemas yang diletakkan di ruang pameran luar premis ber­kenaan.

“Suspek yang merampas sena­pang tersebut kemudiannya mencampakkan senjata milik pengawal keselamatan itu sebelum melarikan diri dengan menaiki kenderaan Perodua Myvi berwarna putih disyaki menggunakan nombor pendaftaran kenderaan palsu,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Zani berkata, ketika kejadian, sebanyak enam pekerja bertugas di premis tersebut dan mereka tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurut beliau, pihaknya ma­sih berusaha mengenal pasti suspek termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) selain maklumat daripada saksi kejadian.

“Buat masa ini kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sementara itu, seorang saksi Rosmini Azah Jusoh, 41, membe­ri­tahu, ketika kejadian dia melihat seorang daripada tiga suspek membawa pistol menuju ke arah premis tersebut.

“Saya sedang duduk di kedai sebelum ternampak tiga lelaki berlari ke arah kedai emas itu. Saya nampak seorang daripada mereka memegang pistol.

“Keadaan ketika itu mencemaskan sehinggakan saya terpaksa menyorok sebelum melarikan diri dari pintu utama yang digunakan penjenayah tersebut,” ujarnya.