Kejadian tersebut menjadi tular di laman sosial Facebook apabila kelima-lima suspek berusia 19 hingga 26 tahun itu cuba me­larikan diri sebelum berjaya ditahan.


Video Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
 
Menerusi beberapa keping gambar yang tular di laman sosial itu, kelihatan berlaku pergelutan seorang suspek berhampiran pintu keluar lapangan terbang tersebut manakala imej bagasi menunjukkan beg berisi dadah jenis syabu.

Ketua Pengarah JKDM, T. Subromaniam berkata, ketika kejadian kesemua suspek tempatan berasal dari Semenanjung itu baharu tiba dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) apabila tingkah laku mereka yang mencurigakan dikesan anggota JKDM bertugas.

“Anggota kami kemudian melakukan pemeriksaan dan mengimbas kesemua lima bagasi dibawa setiap suspek dan berjaya mengesan imej yang amat mencurigakan.

“Berikutan itu, suspek diarah ke pejabat JKDM di situ untuk pemeriksaan lanjut, namun ke­semua mereka cuba melarikan diri tetapi gagal selepas berlaku pergelutan,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Kastam di sini hari ini.

Menurut Subromaniam, pemeriksaan terperinci ke atas kesemua bagasi itu berjaya me­nemukan bahan terlarang berkenaan dalam ketulan-ketulan berbentuk segi empat dan dibungkus menggunakan beberapa lapisan kertas karbon serta plastik untuk mengelak dikesan.

Katanya, kesemua suspek direman 12 hari sejak rabu lalu di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati mandatori jika sabit kesalahan.

Sementara itu, menurut beliau, JKDM akan memperketat kawalan dan pemeriksaan di pintu masuk dan keluar bagi pe­nerbangan domestik yang dipercayai menjadi pilihan terbaharu sindiket penyeludupan dadah ketika ini.

“Biasanya jumlah dadah yang banyak seperti ini dibawa masuk dari luar negara tetapi ini dari Kuala Lumpur menaiki penerba­ngan domestik, jadi kami percaya sindiket dadah mula menukar cara mereka.

“JKDM akan memastikan pemeriksaan terhadap setiap penumpang domestik diperketatkan untuk menyekat sebarang aktiviti penyeludupan dadah,” tegasnya.