Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan/Pematuhan), Datuk Zulkifli Yahya berkata, semua kontena yang membawa rokok seludup berjenama U2 dari Vietnam itu dirampas secara ber­asingan pada 18 Januari lalu.

Beliau berkata, kes rampasan pertama melibatkan satu unit kontena yang mengandungi 980 kotak besar berisi berpuluh-puluh karton rokok putih jenama itu berjumlah 1.01 juta batang rokok.

“Rampasan kedua dan ketiga pula masing-masing melibatkan satu unit kontena mengandungi 980 kotak besar berisi 9.8 juta batang rokok putih dan satu unit kontena mengandungi 1,010 kotak besar yang memuatkan sejumlah 10.1 juta batang rokok.

“Kes rampasan keempat melibatkan satu unit kontena yang juga mengandungi 980 kotak besar memuatkan sejumlah 9.8 juta batang rokok putih daripada jenama yang sama,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Zulkifli, kesemua rokok tersebut telah diikrarkan dalam Sistem Maklumat Kastam melalui manifest atau senarai import oleh pihak ejen dengan maklumat palsu.

Katanya, siasatan awal juga mendapati alamat premis konsaini itu tidak wujud dan pihaknya sedang menyiasat ejen perkapalan dan ejen penghantaran terlibat.

Jelasnya, kesemua rokok tersebut dianggarkan bernilai RM3.16 juta manakala duti import dan eksais pula bernilai RM27.65 juta.

“Kes tersebut sedang disiasat di bawah Seksyen 133(1)(b) Akta Kastam 1967 kerana membuat ikrar tidak benar ke atas manifest import dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM500,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Sementara itu, Zulkifli berkata, buat masa ini pihaknya masih menyiasat mengenai dalang dan hubung kait antara kesemua rampasan rokok seludup itu.

Katanya, sejak tahun lalu kes penyeludupan rokok dari Vietnam semakin berleluasa sama ada me­lalui jalan laut atau udara.