Timbalan Ketua Pengarahnya, Datuk Zulkifli Yahya berkata, rampasan itu berjaya dilakukan kira-kira pukul 9.15 pagi apabila pegawainya menahan sebuah kereta Proton Iswara dipandu seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun, yang mahu memasuki negara ini dari Thailand di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ), Bukit Kayu Hitam, dekat sini.

“Pemeriksaan di bahagian tempat menyimpan barang kereta tersebut mendapati bahagian itu ditutupi dengan lapisan papan lapis seolah-olah pembesar suara yang telah diubah suai. Namun pegawai tersebut terlihat objek mencurigakan melalui celahan papan lapis tersebut.

“Susulan itu pegawai tersebut menjalankan penggeledahan. De­­ngan bantuan pegawai cawangan penguatkuasaan yang turut berada di situ, mereka berjaya mengesan kedudukan kesemua dadah tersebut di bawah papan lapis berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Pejabat Kastam di ICQ tersebut di sini hari ini yang turut disertai Pengarah Kastam Negeri, Datuk Johari Alifiah.


Video oleh MOHD. RAFIE AZMI

Mengulas lanjut katanya, terdapat tiga jenis dadah ditemukan dalam kenderaan tersebut dengan kesemuanya dibungkus mengikut cara yang berbeza.

“Sebanyak 154 kilogram ke­tulan heroin diletakkan dalam bungkusan berwarna kuning sementara 38 kilogram methamphetamin dibungkus dalam bungkusan teh cina berwarna hijau.

“Selebihnya kami menemukan dadah jenis ketamin seberat enam kilogram yang diletakkan dalam plastik hitam," katanya.

Tambahnya, susulan penahanan pemandu kenderaan itu yang merupakan seorang penganggur, pihaknya menahan seorang lagi lelaki berusia 36 tahun dipercayai ahli sindiket terlibat di Alor Setar pada hari yang sama.

“Kedua-dua mereka yang po­sitif dadah jenis methamphetamin telah direman sehingga 5 Jun depan. Kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan," katanya.