Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri T. Subromaniam berkata, seramai lima lelaki berumur 22 hingga 48 tahun terdiri daripada tiga warga Myanmar dan dua rakyat tempatan turut ditahan di lokasi berkenaan.

Katanya, hasil pemeriksaan di premis itu menemukan sebuah kontena yang mengandungi 40 kotak berbalut guni putih disyaki dadah yang telah diikrarkan sebagai makanan dan dihantar dari Yangoon, Myanmar melalui kargo laut di Pelabuhan Klang, Selangor.

“Turut dirampas 750 gram serbuk putih disyaki dadah jenis heroin yang dianggarkan bernilai RM120,000.

“Hasil soal siasat telah membawa kepada penahanan seorang lagi suspek iaitu wanita berumur 31 tahun yang merupakan pengarah syarikat pasar raya dalam satu serbuan di Cheras,” katanya dalam sidang akhbar di JKDM Cawangan Narkotik, dekat sini hari ini.

Mengulas lanjut Subromaniam berkata, kesemua suspek direman selama 10 hari bermula 23 Mei lalu mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dengan rotan sehingga 15 sebatan jika sabit kesalahan. - UTUSAN ONLINE