Dalam serbuan kira-kira pukul 3.50 petang itu, suspek berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun itu terdiri daripada 97 lelaki dan 20 wanita yang kesemuanya warga China manakala seorang lagi adalah warga tempatan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, hasil siasatan mendapati sindiket itu menjadikan negara ini sebagai pusat operasi bagi menawarkan perjudian dalam talian melalui aplikasi WeChat untuk rakyat China. 

“Hasil siasatan lanjut juga mendapati sindiket itu beroperasi sejak enam bulan lalu di dua premis berkenaan yang disewa dengan harga RM30,000 sebuah. 

“Kita juga mendapati daripada hasil perjudian tersebut, jumlah pertaruhan mampu mencecah RM200,000 hingga RM250,000 sehari,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini. 

Tambah Mazlan, pihaknya turut merampas pelbagai barangan digunakan untuk kegiatan itu seperti 118 komputer riba, 479 telefon bimbit, dua set komputer, 154 kad sim, wang tunai RM31,300 dan 6,000 Yuan (RM3,617). 

Jelasnya, kesemua tangkapan direman empat hari bermula Sabtu lalu sehingga hari ini namun pihak polis sedang memohon reman kedua. 

“Kes disiasat di bawah Seksyen 4 (1) (c) Akta Pertaruhan 1953,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE