Ketua Pengarah JKDM, Datuk Seri T. Subromaniam berkata, kejayaan itu melibatkan kes berasingan di pintu masuk KLIA dan KLIA2 dalam tempoh dua minggu pertama bulan ini.


“Kes pertama berlaku pada 4 Januari lalu, apabila pasukan pihak penguatkuasaan kastam menahan dua adik-beradik wanita warga India di KLIA2 yang tiba dari Chennai menerusi penerbangan AirAsia pukul 7.30 pagi.


“Hasil pemeriksaan ke atas bagasi milik kedua wanita itu menemukan 10.50 kg serbuk putih dadah putih yang disorokkan dalam bekas bedak membabitkan jumlah RM735,000,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.


Pada masa sama, Subromaniam memberitahu, kes kedua pula membabitkan seorang lelaki warga India yang tiba di KLIA dari Thiruchirapali apabila dia didapati membawa masuk dadah jenis sama.


Tambahnya, suspek itu telah menyorokkan bahan terlarang seberat 5.20 kg tersebut dalam alat dapur masak bagi mengaburi pihak berkuasa.


“Bagi kes pertama, dua adik-beradik itu telah dihadapkan ke mahkamah mengikut Seksyen 38B Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala suspek lelaki itu telah direman tujuh hari,” katanya.


Sementara itu, Subromaniam memaklumkan, JKDM KLIA juga berjaya mematahkan satu cubaan menyeludup 1,020 mata wang Taiwan Dollar berjumlah RM136,504 yang disembunyikan dalam anak patung beruang, semalam.-UTUSAN ONLINE