Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Ahmad Razin Ahmad Mahir berkata, operasi oleh Cawangan Penguatkuasa Farmasi Jabatan Kesihatan negeri itu adalah hasil aduan awam dan siasatan sejak awal tahun ini bagi mengesan modus operandi kilang tersebut.

Beliau berkata, setiap botol 60 mililiter produk yang dijual RM180 seunit di praasaran itu cuba mempengaruhi orang ramai dengan dakwaan mampu merawat penyakit kencing manis, membaiki pankreas, menurunkan bacaan gula dan memulihkan tisu buah pinggang.

“Kita kesal kerana ia membuat tuntutan perubatan dan kesihatan yang tidak munasabah dan mengelirukan pengguna sedangkan sebarang tuntutan kesihatan perlu disertakan dengan bukti saintifik jelas yang telah disemak pihak jabatan dan pakar perubatan.

“Produk ini bukan sahaja tidak berdaftar malah memapar dan menyalahgunakan logo Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MesTI) yang sebenarnya dikeluarkan Kementerian Kesihatan untuk produk makanan dan bukannya ubat,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah Kesihatan (Farmasi) negeri, Shaik Nurudin Shaik Shahrudin dan Ketua Cawangan Penguatkuasa Farmasi negeri, Azila Ab. Rahman.

Beliau berkata, kes itu disiasat di bawah Peraturan 7(1)(a) Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 kerana mengilang ubat tidak berdaftar yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952 yang memperuntuk denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Jelasnya, hasil kejayaan operasi itu menjadikan jumlah keseluruhan ubat dan kosmetik tidak berdaftar yang dirampas setakat ini tahun ini meningkat kepada RM3 juta berbanding RM1.35 juta sepanjang tahun lalu. - UTUSAN ONLINE