Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, pihaknya sudah menerima butiran mengenai kes itu daripada polis dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya memastikan suspek tidak bolos.

“Dalam soal jenayah yang berlaku sama ada dalam atau luar negara kita sentiasa bekerjasama dengan pelbagai agensi terutama pihak polis.

“Kita sudah dapat beberapa perincian mengenai suspek kes pembunuhan ini bagi memastikan tidak ada pembolosan ke luar negara.

“Kita sentiasa memastikan pintu sempadan di tempat yang dikawal oleh kita diperketat dan akan sekat daripada bolos,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Futsal Jasa Perwira Piala Ketua Pengarah Imigresen Malaysia 2017 di KB futsal Arena di sini hari ini.

Video oleh ASMA HANIM MAHMOOD

Sebanyak 450 peserta mewakili 45 pasukan menyertai kejohanan futsal tahunan jabatan itu yang dianjurkan buat pertama kali di negeri ini.

Dalam kejadian Rabu lalu, pasangan suami isteri yang menjalankan perniagaan alat perkakasan, Kha Eng Ni, 42, dan isterinya, Chua Joo Seok, 37, ditemukan mati selepas ditikam beberapa kali di dada serta badan dengan pisau dan besi tajam di sebuah rumah di Taman Bahagia, Wakaf Mek Zainab di sini.

Manakala seorang lagi anak mangsa, Kha Zee Hanz, 13, terbunuh akibat hentakan kuat di kepala dengan tukul oleh suspek, Sharat Eh Wang @ Pot, 31, yang bekerja sebagai pemandu van dengan pasangan suami isteri tersebut.

Pada malam tadi, polis menemui sebuah lori berwarna putih yang dilarikan suspek di kawasan berhampiran Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian di sini. - UTUSAN ONLINE