Timbalan Pengarah Imigresen negeri (Kawalan), Siti Khadijah Hamzah yang mengetuai operasi itu berkata, kebanyakan PATI yang ditahan merupakan warganegara Vietnam atas pelbagai kesalahan.

“Kita dapati mereka telah melakukan kesalahan tinggal lebih masa, tiada dokumen perjalanan sah dan gagal melaporkan kemasukan ke negara ini kepada pihak Imigresen.

“Seramai 226 PATI dari pelbagai negara seperti Thailand, Kemboja, Myanmar dan Vietnam telah diperiksa dan 120 orang dibebaskan kerana tidak mempunyai sebarang kesalahan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Operasi Mega 3.0 yang berjalan serentak di seluruh negara, di sini hari ini.

Operasi yang berlangsung selama dua jam itu melibatkan seramai 45 anggota Imigresen dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem). - UTUSAN ONLINE