Majistret Low Wen Zhen membenarkan dua lelaki tempatan berkenaan masing-masing dikenakan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin.

Seorang lagi suspek yang merupakan warga India dibebaskan dengan jaminan RM10,000 dengan dua penjamin serta pasport antarabangsanya diserahkan kepada mahkamah.

Sebelum ini mereka direman bermula 16 April lalu setelah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur dalam satu operasi khas pada pukul 4 petang pada 15 April lalu.

Sehingga kini, sebanyak enam individu termasuk dua wanita telah direman membabitkan kes tersebut.

Menurut sumber, sindiket tersebut didapati mengeluarkan sijil palsu ijazah sarjana, ijazah sarjana muda dan diploma tanpa memerlukan seseorang mengikut kursus pembelajaran di insitusi pengajian terbabit.

Jelasnya, sindiket itu hanya mengambil masa selama seminggu untuk menyediakan transkrip palsu menggunakan nama-nama IPTS dengan bayaran antara RM2,000 hingga RM16,000 bergantung dengan jenis sijil dan IPTS.

“Mereka yang ditahan merupakan orang tengah yang menguruskan proses pembelian sijil palsu tersebut. Pasukan penyiasat kini dalam proses mengenalpasti individu yang bertanggungjawab untuk mencetak sijil pertauliahan palsu itu,” katanya. - UTUSAN ONLINE