Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, berikutan isu yang dimainkan tiga suspek tersebut adalah sensitif selain menjadi tular di media sosial, pihaknya terpaksa mengambil tindakan tegas sebelum perkara tidak diingini berlaku.

"Polis ambil tindakan (menggunakan Akta Hasutan) sebab kita tidak mahu kalau kita biarkan perkara ini ditularkan tanpa dikawal akan cetuskan situasi yang mengancam keselamatan negara.

"Kita perlu ambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang yang ada," jelasnya.


Video oleh NAIMAH MOHAMAD

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Forum Kes Penderaan Kanak-kanak Semakin Meningkat: Adakah Undang-undang Kurang Berkesan? yang dianjurkan Mahasiswa Sarjana Sains Sosial (Pengajian Kepolisan) Universiti Kebangsaan Malaysia - PDRM di Maktab PDRM, di sini hari ini.

Dalam perkembangan yang sama, Noor Rashid berkata, ketiga-tiga individu tersebut telahpun dibebaskan dengan jaminan polis semalam.

Sebelum ini, beberapa pihak termasuk Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Subang, Farhan Haziq Mohamed serta Setiausaha Politik kepada Lim Kit Siang, Syahredzan Johan menyifatkan tindakan itu melanggar moratorium dan menggesa supaya mereka dilepaskan. - UTUSAN ONLINE