Mereka terpaksa menanggung implikasi perundangan gara-gara perbuatan jenayah penipuan yang dilakukan oleh sindiket yang telah memperdayakan me­reka untuk memberikan maklumat akaun masing-masing atas pelbagai alasan, terutamanya untuk mendapatkan pinjaman atau wang.

Ada dalam kalangan mangsa terpaksa menghadapi sehingga berbelas pertuduhan jenayah yang didakwa dilakukan oleh individu lain menggunakan maklumat kewangan mereka.

Malah, ada juga mangsa yang menghadapi pertuduhan bagi jenayah membabitkan penipuan berjumlah sehingga RM500,000.

Suri rumah, Ani (bukan nama sebenar), 28, menghadapi sembilan pertuduhan jenayah penipuan menggunakan maklumat akaunnya di seluruh negara yang melibatkan hampir sete­ngah juta ringgit yang menurut polis dilakukan oleh seorang lelaki berketurunan Cina bernama Adam Tan.

Katanya kepada Mingguan Ma­laysia, dia pertama kali me­ngetahui mengenai jenayah ter­sebut setelah dipanggil pihak polis untuk memberi keterangan pada 2016 bagi membantu siasatan terhadap satu laporan penipuan yang berlaku pada tahun sebelumnya.

“Semua ini bermula selepas saya berikan kepada adik yang juga seorang penagih dadah, salinan MyKad berwarna, kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM), nombor akaun serta nombor pengenalan peri­badi (PIN) yang dia kata mahu digunakan untuk tujuan perniagaan pada 2015.

“Tahu-tahu selepas setahun, saya dipanggil polis untuk membantu siasatan dan telah dihadapkan ke mahkamah pada 2016. Saya bernasib baik kerana kes tersebut digugurkan kerana adik saya membuat pengakuan yang dia telah menyerahkan maklumat akaun tersebut kepada orang lain,” jelasnya.

Namun, kesengsaraan Ani masih belum berakhir kerana dia masih memiliki beberapa laporan polis yang dibuat terhadap­nya berkaitan dengan jenayah penipuan yang dilakukan menggunakan maklumat perbankannya itu di beberapa negeri di Semenanjung Malaysia.

Berbeza dengan Ani, seorang lagi mangsa, Rais (bukan nama sebenar), 50, pula menghadapi tujuh pertuduhan kes penipuan melibatkan kerugian hampir RM60,000 menggunakan maklumat perbankannya di seluruh negara.

Menurut Rais, paling membingungkan, sewaktu dia direman pada Disember lalu di Teluk Intan, dalang sebenar penipuan telah melakukan satu transaksi menggunakan kad mesin juruwang automatik (ATM) miliknya.

Walaupun telah dimaklumkan kepada pihak polis, siasatan terhadapnya tetap diteruskan kerana terdapat enam lagi laporan polis telah dibuat terhadap­nya akibat perbuatan dalang yang sebenar.

“Kealpaan saya ialah memberikan maklumat perbankan kepada ah long untuk membuat pinjaman. Walaupun niat itu dibatalkan, dokumen-dokumen berkenaan tidak saya ambil kembali dan akibatnya maklumat berkenaan telah terlepas dan digunakan untuk tujuan jenayah oleh orang lain.

“Kini saya yang menanggung akibat dan disiasat atas jenayah yang tidak saya lakukan,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Johari, 28, memberitahu, kerana ter­desak dan memerlukan wang, dia telah menyerahkan lima dokumen dan maklumat perbankannya kepada seorang lelaki berketurunan Cina yang membayar RM250 untuk setiap dokumen tersebut.

Menurut Johari, lelaki yang dikenalinya melalui satu laman Facebook yang menawarkan untuk pembelian maklumat perbankan itu memberitahu syarikatnya hanya mahu menggunakannya untuk tujuan pelaburan.

Percaya dengan penjelasan tersebut, Johari telah membuka lima akaun bank berbeza dan menyerahkannya kepada lelaki tersebut, namun, dia merasa musykil kerana individu berkenaan tidak dapat dihubungi selepas itu.

“Selepas lima atau enam bulan, pihak polis telah menghubungi bapa saudara dan memaklumkan kepada dia saya diperlukan untuk hadir ke balai polis untuk membantu siasatan terhadap satu laporan polis kes penipuan yang berlaku di Kuala Lumpur,” ujarnya.