Video oleh GHAZALI BASRI

Dalam serbuan pertama pada pukul 2.30 petang, dua suspek berusia 46 dan 23 tahun itu dikesan menaiki sebuah kereta jenis Proton Perdana hitam dalam keadaan mencurigakan di Kampung Bukit Pak Mud, Jeli.

Ketua Polis negeri, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, kereta berkenaan disyaki menggunakan nombor pendaftaran palsu telah dipecut laju sebaik terserempak dengan anggota polis.

“Setibanya di hadapan sebuah stesen minyak kira-kira dua kilometer dari lokasi pertama, kereta tersebut telah melanggar kereta peronda polis lalu terbabas di Kilometer 98, Jalan Kota Bharu - Machang - Gerik.

“Berlaku pergelutan semasa cuba menangkap kedua-dua suspek tersebut. Polis menemui 2,050 bungkusan plastik lutsinar daun ketum seberat 410 kilogram dari Kedah di dalam kereta tersebut,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Azmi Abu Kassim.

Hasanuddin berkata, turut ditemukan dalam kereta tersebut ialah sepaket plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 0.88 gram dalam kotak rokok serta sebilah golok berhulu kayu.

Dalam pada itu, Hasanuddin berkata, hampir lima jam kemudian, anggotanya menahan sebuah kereta jenis Proton Perdana warna perak dipandu seorang lelaki menghala ke Jeli di Jalan Raya Timur - Barat.

“Polis menahan seorang mekanik berusia 35 tahun dan menemui sebanyak 2,353 bungkusan plastik seberat 589 kilogram daun ketum serta 550 mililiter cecair kodein.

“Siasatan lanjut mendapati daun ketum itu masing-masing diseludup dari Kuala Nerang dan Sik, Kedah. Sekilogram daun ketum itu dibeli dengan harga RM10 dan RM12 di daerah berkenaan untuk pasaran di negeri ini dan Thailand,” katanya.

Katanya, semua rampasan tersebut bernilai keseluruhan RM39,135 dan ketiga-tiga suspek ditahan selama tiga hari sehingga hari ini untuk membantu siasatan.

Tambahnya, mereka disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya, Seksyen 30(3) Akta Racun 1953, Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1985. - UTUSAN ONLINE