Mangsa yang berusia 27 tahun itu bagaimanapun bernasib baik kerana tidak mengalami sebarang kerugian dan hanya mendapat kecederaan ringan susulan insiden berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, ketika kejadian, mangsa yang berseorangan dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya dari sebuah pasar raya besar.

Katanya, secara tiba-tiba, datang dua lelaki bermotosikal dari arah bertentangan sebelum salah seorang suspek yang memakai topi keledar menghampiri dan cuba menerkam mangsa.

Beliau berkata, suspek yang juga pembonceng motosikal itu kemudian menumbuk dahi kiri mangsa dalam cubaannya untuk meragut beg yang digalas oleh wanita itu, namun gagal apabila mangsa dikatakan melawan.

“Semasa cubaan meragut itu, badan mangsa telah terseret di atas jalan tar dan mengalami kecederaan.

“Suspek dan rakannya kemudian cuba melarikan diri apabila usaha mereka gagal, namun kembali semula tidak lama selepas itu sebelum memecut laju meninggalkan kawasan berkenaan," katanya, di sini hari ini.

Menurut Nik Ros Azhan, ketika kejadian, terdapat dua rakaman kamera litar tertutup (CCTV), namun salah satu daripadanya tidak dapat dilihat kerana pemiliknya tidak berada di rumah.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana cubaan samun dan usaha mengesan kedua-dua suspek juga kini sedang giat dijalankan. - UTUSAN ONLINE