Sumber keselamatan memberitahu Utusan Malaysia, serangan itu dikatakan sebagai reaksi tindak balas pejuang pemisah apabila pihak pemerintah meningkat tekanan dengan menangkap beberapa anggota BRN.

“Kita tidak menolak kemungkinan ini ada kena mengena dengan pilihan raya negara tersebut tetapi berdasarkan siasatan yang dijalankan kejadian itu lebih daripada rasa tidak puas hati BRN terhadap tentera Thailand yang meningkatkan kawalan dan menangkap beberapa anggota sejak kebelakangan ini.

“Pihak keselamatan di negara ini akan meningkatkan kawalan bagi memastikan tidak ada anggota BRN yang lolos ke negeri dan kawalan di sempadan khususnya di sepanjang Sungai Golok ditingkatkan,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, penduduk di Kampung Simpangan di sini masih trauma dengan kejadian tersebut kerana gegeran daripada letupan tersebut amat kuat sehingga merosakkan kira-kira 10 buah rumah di tebing Sungai Golok itu. Ini merupakan letupan kali pertama yang berlaku di tebing sungai itu sejak pergolakan berlaku di Selatan Thailand.

Seorang penduduk, Kamaruzaman Abdul Manaf, 37, berkata, adiknya yang sedang memancing di sungai belakang rumah mereka tidak mampu bergerak kerana dikejutkan dengan bunyi tembakan yang kuat kira-kira pukul 11.30 malam.

“Saya memanggil dia naik ke atas rumah. Dia tidak dapat bergerak. Dia diam di situ. Kami bimbang ada peluru sesat ke sini kerana bunyi tembakan itu daripada senjata berat. Selepas beberapa ketika dia merangkak naik ke atas rumah.

“Selepas beberapa minit tembakan itu berhenti. Kemudian, bunyi letupan yang amat kuat. Serpihannya terkena pada rumah saya. Pintu dan beberapa tingkap pecah. Bunyi seperti yang banyak jatuh atas bumbung.

“Sebatang handel motosikal jatuh berhampiran rumah saya yang terletak setentang dengan pos kawalan itu. Mungkin bom itu diletakkan dalam motosikal. Polis telah mengambil handel motosikal itu,” katanya.

Sementara itu, Hazbullah Mat Ail, 26, berkata, letupan kuat itu telah menyebabkan lebih 10 keping siling di kedai ibunya runtuh dan rosak.

“Selepas mendengar bunyi tembakan saya dan dua saudara keluar dari rumah. Kami duduk atas pondok di belakang rumah di tebing sungai Golok. Kami mendengar dan melihat tembakan itu serta satu letupan, mungkin bom tangan. Selepas itu senyap. Lima minit kemudian, bunyi letupan yang amat kuat.

“Dua saudara saya meniarap dan melarikan diri. Saya hanya meniarap di atas pondok kerana duduk di tengah, mereka berdua terjun di tepi pondok dan meniarap

sebelum menyusup ikut tepi pondok,” katanya. - UTUSAN ONLINE