Ketua Peneroka Kebangsaan Felda, Samsudin Othman mendakwa, segala keputusan pembelian atau penjualan hartanah milik Felda tidak dimaklumkan secara terperinci kepada mereka termasuk membuat keputusan tanpa mengadakan sebarang perbincangan.

“Kami tidak tahu siapa di sebalik projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC), tidak banyak yang kami tahu. 

“Kepimpinan terdahulu Felda tidak telus bila melibatkan perniagaan, malah mereka juga buat perkara tanpa memaklumkan kami terlebih dahulu,” katanya dalam sidang akhbar, di sini sebentar tadi.

Beliau yang merupakan salah seorang Ahli Lembaga Pengarah dan juga mewakili Jawatankuasa Perunding Peneroka (JKPP) memberitahu, Ahli Lembaga Pengarah Felda juga tidak dimaklumkan mengenai penukaran hak milik tanah di Jalan Semarak, Kuala Lumpur yang menjadi isu hangat ketika ini.

Menurutnya, Ahli Lembaga Pengarah Felda hanya dimaklumkan mengenai cadangan pembangunan tanah tersebut oleh kepimpinan terdahulu.

“Antara yang dimaklumkan termasuk kompenen pembangunan yang melibatkan pembinaan bangunan hotel yang mampu menjana keuntungan buat Felda. Ahli Lembaga Pengarah beri kelulusan, tetapi kami tidak dimaklumkan secara terpeinci dan siapa di sebalik projek ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE