Artis berusia 37 tahun itu juga memberikan reaksi positif serta tidak putus-putus melemparkan senyuman kepada wartawan dan jurugambar yang membuat liputan kes tahanan reman yang dikenakan ke atasnya di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

“Kesihatan saya baik, alhamdulillah. Saya bersyu­kur kepada Allah semuanya berlangsung dengan aman,” kata Farid dalam reaksi ringkasnya kepada wartawan.

Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Zani Che Din, reman terhadap suami kepada pelakon jelita, Datin Diana Danielle, 27, itu dilanjutkan sehari lagi bagi membantu siasatan terhadap dakwaan menampar seorang anggota polis dan menyepak orang awam ketika berada di kaunter Cawangan Trafik, Balai Polis Kota Damansara, Khamis lalu.

“Mungkin (akan dituduh esok), tunggu saja di mahkamah,” kata­nya dalam pesanan ringkas WhatsApp.

Sebelum ini, Farid direman selama empat hari bermula 12 Januari lalu sehingga hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 90 Akta Polis atas ke­salahan berkelakuan tidak senonoh di balai polis, Seksyen 323 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyepak orang awam, Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menampar anggota polis dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 atas dakwaan memasukkan dadah dalam badan.

Selain adiknya, Fadzil Bahari Zahari yang juga suami kepada pelakon dan penyanyi, Yana Samsudin, turut hadir ke mahkamah sebagai tanda sokongan kepada Farid ialah dua pelakon terkenal, Azad Jazmin dan Azhan Rani.

Sementara itu, Fadzil, 34, berkata, dalam pertemuan singkat dengan Farid di mahkamah, dia dapat me­lihat emosi abangnya itu jauh lebih tenang berbanding hari pertama dia direman.

“Sebelum ini saya nampak dia sangat tertekan. Hari ini saya sangat lega apabila melihat keadaan fizikal dan emosinya dalam keadaan baik dan tenang. Mungkin kerana dia mendapat sokongan rakan artis dan pihak media yang hadir hari ini,” kata Fadzil.

Dalam masa sama, Fad­zil turut memberitahu, mereka sekeluarga sedia memberi kerjasama bagi melancarkan proses siasatan pihak berkuasa berikutan perintah lanjutan reman terhadap abang­nya.

“Siasatan untuk kes jenayah sudah selesai, kini hanya tinggal berkaitan narkotik sahaja. Kalau boleh memang kami tidak mahu abang direman, namun kami perlu memberi kerjasama yang baik agar siasatan lanjut dapat berjalan dengan lancar,” ujarnya lagi.

Fadzil turut mewakili abang dan seluruh ahli keluarganya memohon maaf kepada anggota polis yang ditampar Farid serta orang awam yang terlibat dalam insiden Khamis lalu.

“Saya ingin menyampaikan bagi pihak Farid dan keluarga, kami mohon maaf kepada mang­sa-mangsa yang terlibat seperti dalam laporan baru-baru ini,” katanya.