Ketua Polis daerah, Superintenden Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, ketiga-ketiga suspek yang berusia 19 tahun hingga 22 tahun itu ditahan dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kampung Baru Bukit Koman di sini kira-kira pukul 1.15 petang semalam.

“Pemeriksaan di dalam rumah tersebut menjumpai polisterin yang mengandungi 47 bungkusan plastik lutsinar yang diikat dengan getah berisi cecair berwarna kehijauan disyaki air ketum.

“Kesemua suspek yang masih bujang termasuk seorang suspek yang pernah ditahan akibat kesalahan sama direman selama empat hari mulai hari ini untuk siasatan lanjut,”katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) hari ini.

Yang hadir sama Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik daerah, Asisten Superintenden Yusof Kamis.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum 10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya sekali.

Berdasarkan siasatan awal, katanya, suspek yang menjalankan aktiviti berkenaan kira-kira setahun lepas memasarkan air ketum untuk pasaran penduduk setempat.

“Kita masih menyiasat sumber daun ketum digunakan yang dipercayai diambil dari kawasan Felda Mempaga di Bentong,”ujarnya.- UTUSAN ONLINE