Dalam kejadian pukul 3.30 pagi itu, empat buah kereta yang diletakkan di bahagian hadapan rumah Penolong Pengarah Kanan Kastam Bahagian Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Nor Azman Jini turut terbakar.

Nor Azman, 59, ketika ditemui pemberita hanya sempat memberitahu, kejadian itu umpama hadiah perpisahan untuk dirinya yang bakal bersara pada April ini sebelum dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah Putrajaya untuk diambil keterangan.

“Saya akan bersara tidak lama lagi, ini mungkin salam perpisahan bagi saya,” katanya sambil bersalaman dengan pihak media di sini.

Dalam pada itu, isteri Nor Azman, Noorhayati Khairuddin, 57, berkata, ketika kejadian dia dan suaminya berada di tingkat atas rumah manakala anak dan menantunya bersama dua orang cucunya tidur di bahagian bawah.

“Keadaan waktu itu sangat kelam-kabut kerana sangat gelap ditambah dengan asap tebal dan bunyi letupan dari luar menyebabkan kami semua panik dan terus keluar menggunakan pintu belakang.

“Saya juga ingat kami akan mati jika lambat selamatkan diri,” katanya.

Noorhayati berkata, mereka sekeluarga mengesyaki kebakaran itu merupakan perbuatan khianat kerana menjumpai sebuah penukul besi di atas salah sebuah kereta yang hangus terbakar.

“Kami dapati tingkap depan rumah telah pecah tetapi semalam tidak pecah dan ada penukul besi atas kereta Mercedes-Benz menyebabkan kami yakin kebakaran ini ada unsur khianat memandangkan suami sebelum ini pernah bertugas di bahagian penguat kuasa kastam.

“Selain kereta Mercedes-Benz, turut hangus terbakar ialah sebuah kereta Perodua Myvi manakala kereta jenis Honda CRV dan Proton Saga terbakar pada bahagian hadapan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Da­erah Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hassan ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian itu dan siasatan awal mendapati terdapat unsur khianat.

“Pihak polis telah membuka kertas siasatan di bawah Sek­syen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api.

“Barang kes khianat yang disyaki dijumpai di tempat kejadian ialah penukul besi di atas bonet belakang kereta Mercedes-Benz dan pemetik api di lantai,” katanya.